Wednesday, October 13, 2010

Sambutan Bulan Bahasa 2010

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua
Selamat Datang

Apa khabar semua. Seperti yang saya janjikan pada tahun lepas, saya akan menulis satu artikel di blog saya dalam Bahasa Melayu. Ini adalah dalam menyahut seruan kerajaan di samping meraikan Sambutan Bulan Bahasa. Sejak tahun 2009, bulan Oktober telah diwartakan sebagai Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan. Jadi, setahun sekali, saya akan menulis artikel dalam Bahasa Melayu.

Photobucket

Apakah perasaan saya seorang penulis blog Berbahasa Inggeris apabila menulis dalam Bahasa Melayu? Jawapannya, Sudah tentulah seronok!! (^_^)
Ini kerana, matlamat asal saya menulis blog dalam Bahasa Inggeris adalah untuk memahirkan saya dalam kemahiran menulis dan bertutur dalam Bahasa tersebut. Jadi, tidak salah jika saya menulis satu artikel dalam bahasa melayu di blog ini.

Baiklah, berbalik semula kepada Sambutan Bulan Bahasa ini, tema kepada Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2010 adalah :-

"1 Bahasa, 1 Bangsa, 1 Negara"


Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?

Pertama sekali jika dibicarakan, yang mana satu penggunaan yang betul? Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia? Jawapannya, dua-dua betul. Ini adalah kerana, Bahasa Melayu adalah asas kepada bukan sahaja Bahasa Malaysia, tetapi juga kepada Bahasa Indonesia. Perbezaan wujud kepada dua bahasa ini adalah kerana perbezaan dialek yang digunakan dan juga atas faktor penjajahan. Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia diambil dari Bahasa Melayu Johor-Riau.

Photobucket

Jika kita ambil dari faktor sejarah, Bahasa Melayu ini merupakan bahasa lingua-franca di rantau ini. Ia digunakan sejarah meluas di seluruh Nusantara. Itu adalah satu sebab mengapa Indonesia mengambil Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan walaupun pada dasarnya, 1/3 penduduk Indonesia adalah berasal dari Pulau Jawa. Ia adalah sebagai medium perpaduan untuk menyatukan seluruh Indonesia yang terdiri dari ratusan kaum dan etnik dan dikenali sebagai Bahasa Indonesia.

Jika kita lihat sekarang, Bahasa Indonesia boleh dikatakan berjaya dalam kategori menyatukan dan memberi identiti baru kepada rakyat Republik Indonesia, iaitu Bangsa Indonesia. Tapi bukan itu sahaja. Pernah kita lihat Orang Korea dan Jepun bercakap bahasa Indonesia?? Ini bukan cerita dongeng, ini betul-betul. Mereka berkomunikasi di negara mereka sesama sendiri bukan guna bahasa inggeris tapi Bahasa Indonesia!!


Bahasa Malaysia dan Bangsa Malaysia

Jika kita lihat contoh di atas, sudah jelas lagi bersuluh bahawa Bahasa merupakan satu medium penting dan utama kepada pembentukan sebuah identiti negara. Diambil dari Bahasa Melayu Johor-Riau, Bahasa Malaysia diwartakan sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia dan juga sebagai medium perpaduan kepada rakyat Malaysia yang pada dasarnya juga berbilang kaum.

Jika kita lihat kepada suasana politik sekarang, kita sudah boleh lihat bahawa slogan 'Bangsa Malaysia' sudah boleh didengar dimana-mana. Namun, selepas 47 tahun pembentukan Malaysia, kita masih gagal dalam membentuk sebuah bangsa yang bersatu? Di mana silapnya? Jika dilihat, hanya satu. Walaupun banyak pihak memperjuangkan sebuah Bangsa Malaysia yang bersatu, tiada satu pun di antara mereka yang berjuang benda yang paling asas, iaitu identiti kepada perjuangan tersebut.

Sekarang mari kita soal semula. Apakah identiti Bangsa Malaysia?
Mari kita lihat contoh di bawah.

Photobucket

Baiklah, ini adalah contoh terbaik, Kerajaan Singapura telah berjaya mencorakkan identiti sebuah negara Singapura. Apa dia? Bahasa Inggeris. Tidak kira dari keturunan apa, siapa sahaja warganegara Singapura memang fasih berbahasa Inggeris.

Photobucket

Contoh kedua, Negara yang amat terkenal dengan jolokan Negara Gajah Putih. Semua antara kita kenal Perdana Menteri Thailand ini, iaitu Abhisit Vejjajiva. Jika kita lihat, persepsi pertama kita adalah, "Dia orang Thai". Tapi perasankah kita bahawa beliau juga adalah dari keturunan Cina?? Sudah pasti tidak. Itulah dia Bangsa Thai.

Jadi, di mana dia identiti Bangsa Malaysia?
Inilah dia kekurangan yang diperjuangkan oleh banyak pihak. Memperjuangkan bangsa Malaysia yang bersatu, tapi tidak memperjuangkan identiti asas yang mewujudkan bangsa tersebut. Sebab itulah sampai sekarang, kita masih lagi tersepit dengan retorik kosong ini.

Apa dia Bangsa Malaysia?
Bangsa Malaysia adalah Melayu, Cina, India, Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak.
(masalah yang tidak selesai walaupun selepas 47 tahun penubuhan sebuah negara Malaysia. Bagaimana idea Bangsa Malaysia hendak direalisasikan dalam keadaan masih ramai rakyat Malaysia tidak fasih Bahasa Malaysia.)


Bahasa Malaysia vs Bahasa Inggeris

Walaupun Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, Bahasa rasmi bagi negeri Sabah dan Sarawak adalah Bahasa Inggeris. Ini memang telah ada dalam perlembagaan. Apatah lagi jika diambil kira yang Bahasa Inggeris amat diperlukan sekarang ini memandangkan suasana dunia yang semakin mencabar. Jadi ianya bukan persoalan.

Persoalannya di sini adalah berapa ramai di antara kita sekarang ini yang...

i) Fasih berbahasa Melayu tapi tidak fasih berbahasa Inggeris
ii) Fasih berbahasa Inggeris tapi tidak fasih berbahasa Melayu
iii) Fasih menggunakan bahasa 'Rojak/Manglish'
iv) Tidak tahu Bahasa Melayu / Bahasa Inggeris

Satu sahaja nasihat saya, Utamakan Bahasa Kebangsaan. Perkasakan kemahiran Bahasa Inggeris. Jangan tinggalkan bahasa ibunda anda (Mandarin, Tamil, Iban, Kadazan, Tausug, dll)

TAPI!!!

Jangan Guna Bahasa Rojak!! Jangan persoalkan Bahasa Kebangsaan!!
Tiada Alasan!!

Photobucket


KESIMPULAN

Di sebalik semua perbincangan kita di atas, Bahasa memainkan peranan yang amat penting dalam mewujudkan identiti sebuah bangsa. Kata bidalan "Bahasa Jiwa Bangsa" amat tepat sekali. Kenapa sekarang ini Kerajaan sibuk mempromosikan Bahasa Kebangsaan ini? Sebabnya hanya satu, untuk mengelakkan bahasa ini hilang ditelan zaman. Bagi saya, perkara ini amat mudah, "di mana ada kemahuan, di situ ada jalan". Bagaimana sebuah bangsa hendak diwujudkan jika kita masih tidak mahu mewujudkan persamaan di dalam sebuah masyarakat yangg berbilang kaum? Mulalah dari sekarang untuk menggunakan dan menyebarkan Bahasa Kebangsaan kita.

Dan juga setinggi-tinggi pujian saya berikan kepada pihak yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh menerbitkan banyak bahan bacaan dalam Bahasa Malaysia. Saya akui sudah bosan dengan novel-novel Melayu yang kebanyakannya bertumpu dalam genre Cinta. Lagu Cinta, Bahan penulisan cinta, tak habis-habis bercinta... tapi langsung tidak membawa kepada semangat "Cintakan Negara". Namun sekarang, kemunculan bahan-bahan bacaan yang pelbagai genre dari semangat pengembaraan, setia kawan, pertarungan dan pengorbanan sedikit sebanyak menambah minat saya untuk mengumpul koleksi novel-novel ini. Tahniah saya ucapkan.

Photobucket
Chronicle Alam Epsilon. Pengembaraan Harris dan Qistina di Alam Epsilon

Photobucket
Herbalis : Misi Purnama Biru. Misi dua beradik yang hampir mustahil namun satu-satunya cara untuk mereka menyelamatkan abang mereka iaitu mencari Bunga Purnama Biru.

Insya Allah, di masa yang akan datang, saya juga akan turut serta dalam perjuangan menegakkan Bahasa Kebangsaan ini. Saya akan cuba menghasilkan bahan-bahan bacaan yang berkualiti untuk generasi baru Malaysia.

Sekian sahaja buat masa ini.
Semoga berjumpa lagi

Bye~~~

4 comments:

DRC said...

bahasa jiwa bangsa.....
martabatkan bahasa melayu yerk...huhu

Radin87 said...

@kza.musa

itu sudah semestinya. =D

Hasbullah abu bakar said...

Terima kasih kerana sudi membaca novel pertama saya, Herbalis Misi Purnama Biru.

Radin87 said...

@Hasbullah

Sama-sama. Terima kasih sebab sudi datang ke blog saya. (^_^)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails

Blog Followers